KUALA LUMPUR, 6 Mac — PKR hari ini kembali membuat gesaan
terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar menerima tawaran
debat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sepertimana kesanggupan
Najib untuk berdebat dalam kerangka wacana demokrasi sebagaimana
dinyatakan di dalam blognya.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution
(gambar),
berkata, pihaknya berharap kesanggupan Najib kali ini benar-benar jujur
kerana tawaran Anwar yang dibuat pada Januari 2011 untuk berdebat
berkenaan kedudukan ekonomi, fakta-fakta yang terkandung di dalam Buku
Jingga dan penyelewengan negara masih lagi terbuka.
“PKR sekali lagi menggesa agar Najib menerima tawaran debat ini
sesuai dengan semangat demokrasi yang diluahkan beliau,” katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
“Melainkan Najib tidak merasakan isu ekonomi, tawaran dasar Buku
Jingga, tatakelola kerajaan yang baik, kenaikan kenaikan kos hidup dan
penyelewengan negara merupakan isu-isu penting untuk dibahaskan.”
Menurut Saifuddin, Najib turut meluahkan kebimbangannya tentang
keupayaan lawannya di dalam perdebatan untuk bercakap berdasarkan fakta
dan mengawal emosi.
“Sebenarnya kebimbangan ini tidak patut wujud sekiranya beliau yakin
dengan keupayaan rakyat Malaysia untuk membuat perhitungan yang tepat.
“Keputusan di tangan perdana menteri sama ada beliau jujur mahu
membolehkan rakyat Malaysia mendengar secara langsung dasar-dasar
Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) didebatkan dalam kerangka
demokrasi dan membuat keputusan yang sewajarnya,” tegasnya.
Justeru, Saifuddin menambah, pihaknya masih lagi menantikan jawapan
beliau untuk berdebat dengan Anwar yang sehingga kini masih lagi tidak
berbalas.
“Malangnya, kami belum menerima sebarang jawapan daripada Perdana Menteri tentang tawaran tersebut,” katanya lagi.
Di dalam blognya semalam, perdana menteri menjelaskan kesediannya
untuk berdebat namun menegaskan lawannya harus “bertimbang rasa” dan
tidak membangkitkan teori konspirasi untuk memenangi perdebatan.
Beliau memberi peringatan bahawa negara akan akan menjadi lemah
sekiranya pemimpin politik memilih untuk hanya melakukan provokasi
berbanding menunaikan tanggungjawab mereka.
Pemimpin pembangkang berulang kali telah menyuarakan desakan supaya
Najib menerima cabaran Anwar dan menjelaskan ia merupakan platform
terbaik untuk mereka berhujah berkenaan pendapat dan idea mereka, serta
polisi untuk membantu rakyat memilih parti untuk diundi.
Berdasarkan kaji selidik yang dijalankan oleh Merdeka Centre,
majoriti pengundi di Semenanjung Malaysia mahukan debat berkenaan
berlangsung kerana ia mampu membuatkan keputusan untuk mereka mengundi
mana-mana parti.