
Pengasas Zentrum Future Studies Malaysia, Prof. Dr Abu Hassan Hasbullah berkata, fenomena perdebatan bukan sesuatu yang baru pada kurun ke-21 kerana pada kurun ini diterjemahkan sebagai kurun informasi, partisipasi dan demokrasi.
Katanya, bagi orang muda yang terdiri daripada 11 juta daripada 26 juta rakyat negara ini sudah pasti bagi mereka politik hari ini tidak sama dengan politik kurun sebelum itu.
"Inilah peluang bagi orang muda mahu melihat lebih dekat pemimpin mereka berhujah dan berdebat dalam politik masa depan," katanya kepada Harakahdaily.
Bagi Abu Hassan dengan cara inilah mereka mahu menyaksikan aspek kebijakkan dasar, ketrampilan dan ketelusan pemerintahan yang akan dilaksanakan.
"Anak muda hari ini cukup terdedah dengan pelbagai media sosial, sudah pasti mahukan seorang pemimpin masa depan dari kalangan yang berilmu, praktikal dan prakmatik," katanya.
Jelasnya, sebagai seorang yang intelektual sudah pasti tidak dapat dilihat secara kasar kecuali berlaku perdebatan dalam isu-isu kritikal dan pertimbangan masa depan tanah air.
"Masa ini rakyat mahukan negara sangat mempunyai matlamat yang jelas, keduanya bagaimana hendak meningkatkan negara menjadi maju dan sekarang adalah 'period' untuk menentukan masa depan.
"Oleh kerana itulah, anak muda mendesak berlakunya perdebatan untuk menangani krisis yang akan datang," katanya.
Mengulas kajian terbaru Merdeka Centre itu, bagi Abu Hassan golongan pengundi terbesar ini ingin memilih seorang pemimpin yang benar-benar mampu mentadbir negara.
Agensi kaji selidik itu mendapati 54 peratus daripada mereka menyokong debat itu diadakan. Golongan paling tinggi menyokong menurut kajian itu adalah golongan muda yang berumur 21 hingga 30 tahun iaitu sebayak 67 peratus.
Ini kerana, katanya, orang muda tidak boleh bergantung kepada media sahaja kerana media hari ini tidak lagi dipercayai oleh masyarakat.
"Untuk menilai secara keseluruhan sudah pasti orang muda mahukan perdebatan kerana media sebagai abstrak atau ringkasan sahaja," katanya
Justeru katanya, mereka mahu lihat secara terbuka dan sekali gus memberi jalan kepada mereka untuk memutuskan pemimpin mana yang mahu mereka pilih.
"Tidak ada cara lain untuk dekat dengan masyarakat sebab cara terbaik bersemuka dan berbahas dengan mengemukakan padangan masing-masing kerana isunya adalah untuk menangani masa depan negara," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan